Monday, 17 December 2012

Sukar Kawal Bahasa SMS


Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran mengakui sukar mengawal penggunaan bahasa ringkas atau SMS (khidmat pesanan ringkas) dalam kalangan pelajar khususnya ketika peperiksaan. 

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata perkara itu rumit untuk dikawal kerana tiada peruntukan undang-undang yang boleh menghalang atau mencegahnya daripada berlaku. 
Sehubungan itu, katanya, guru sudah diarahkan untuk memastikan pelajar tidak menggunakan bahasa ringkas dalam pembelajaran harian dan ketika peperiksaan. 

Jejas kemurniaan bahasa 

Katanya, kesan penggunaan bahasa ringkas atau SMS boleh menjejaskan kemurnian bahasa khususnya bahasa Melayu. 

Beliau berkata, pemakaian telefon bimbit mempengaruhi penggunaan bahasa ringkas dalam kalangan pelajar sehingga tanpa sengaja menggunakan bahasa itu ketika peperiksaan. 

“Justeru, guru perlu memastikan pelajar memahami penggunaan bahasa ringkas boleh mempengaruhi pemarkahan, sekali gus menyebabkan pelajar gagal dalam peperiksaan. 
“Guru juga perlu memberikan contoh kertas jawapan yang menggunakan bahasa ringkas bagi menyedarkan pelajar,” katanya ketika dihubungi semalam. 

Akhbar semalam melaporkan, penemuan hasil kajian dijalankan sekumpulan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati penggunaan bahasa ringkas atau SMS kini semakin membimbangkan apabila ia turut digunakan pelajar dalam peperiksaan rasmi, termasuk pada peringkat institusi pengajian tinggi. 

Kerjasama semua pihak 

Mohd Puad berkata, kawalan menyeluruh hanya boleh dilaksanakan jika semua pihak bekerjasama termasuk Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan menerusi tindakan drastik. 

Sementara itu, pakar bahasa, Profesor Emiritus Datuk Dr Nik Safiah Karim, berkata penggunaan bahasa ringkas akan melambatkan proses perkembangan bahasa Melayu, sekali gus menyebabkan keupayaan bahasa berkenaan menjadi bahasa ilmu dipertikaikan. 

Katanya, tindakan remaja yang gagal menghormati kemurnian bahasa akan memberi peluang kepada pihak lain mengutuk bahasa Melayu.

Sumber: Berita Harian, 14 Disember 2012

0 comments:

Post a Comment