Wednesday, 19 December 2012

Resolusi 11 Perkara diteliti: Muhyiddin


Muhyiddin bersama Abdul Ghani dan Azalina mendengar penerangan mengenai Kompleks Bersepadu Petroleum Pengerang di Bayu Permai, semalam.
KONGRES diminta kemuka resolusi secara rasmi

Kota Tinggi: Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan akan meneliti Resolusi 11 Perkara dicadang Kongres Kesatuan Guru-Guru Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES) untuk membela nasib pendidik dan pesara guru.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sebagai Menteri Pelajaran, beliau bersedia untuk menerima cadangan KONGRES dan meminta mereka mengemukakannya secara rasmi.
“Daripada apa yang saya baca, ada 11 resolusi yang KONGRES akan bawa kepada kementerian secara rasmi. Kementerian akan menelitinya satu persatu, jika boleh terima, kita akan ambil,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat Kompleks Bersepadu Petroleum Pengerang (PIPC) di Bayu Permai, Plot A di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman dan Ketua Eksekutif Johor Petroleum Development Corporation Berhad (JPDC), Mohd Yazid Jaafar.

Muhyiddin mengulas mengenai resolusi mesyuarat Exco Khas KONGRES, Sabtu lalu, yang turut mencadangkan penubuhan bank guru yang bertujuan memberi manfaat kepada 430,000 guru dan 5.5 juta murid seluruh negara.

Resolusi turut mencadangkan penubuhan organisasi mirip Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), dikenali Lembaga Tabung Kebajikan Guru yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal kebajikan pendidik dan keluarga mereka.

Yayasan Pendidikan Pengerang
Sementara itu, Muhyiddin mencadangkan Yayasan Pendidikan Pengerang ditubuhkan bagi kepentingan pelajaran anak penduduk kawasan itu dengan dananya disumbangkan pelabur dalam PIPC, termasuk PETRONAS dan Dialog Group Bhd.

“Yayasan ini adalah sebagai tanda sokongan kerajaan dan masyarakat terhadap penduduk yang terbabit dalam PIPC kerana atas pengorbanan mereka, projek dapat dilaksanakan.

“Yayasan ini juga untuk masa depan anak penduduk menerusi penyaluran biasiswa,” katanya yang berpuas hati dengan proses pembangunan PIPC seluas 22,000 hektar yang fasa pertama dijangka siap pada 2016.

Beliau juga berharap tiada pihak mempolitikkan projek itu kerana ia memberi faedah besar kepada Johor dan negara.

Sumber: Berita Harian, 19 Disember 2012


0 comments:

Post a Comment