Tuesday, 18 December 2012

Apabila anda tidak berputus asa, anda pasti tidak akan gagal!

Jika seseorang diminta untuk menyenaraikan pencapaian Derek Anthony Redmond, mereka akan dapati bahawa beliau hanyalah memenangi emas dan perak di Kejohanan Dunia dan Sukan Komanwel dalam bidang trek larian. Mereka juga akan mengetahui bahawa beliau pernah memegang rekod British untuk perlumbaan 400m. Walau bagaimanapun, para pengkritik akan mengatakan bahawa tidak memenangi emas Sukan Olimpik adalah satu kecacatan pada kerjaya olahraganya. Apa yang pengkritik tidak akan lihat ialah bagaimana manusia ini muncul juara dalam menghadapi kekalahan dengan bantuan bapanya, Jim Redmond. Bagaimana dia tabah walaupun menghadapi rintangan dalam lariannya. Hanya mereka yang hadir pada perlumbaan separuh akhir acara larian 400m Olimpik Barcelona 1992 atau mereka yang menonton video beliau menamatkan perlumbaan sahaja akan mengetahui semangat keperwiraan beliau.

Redmond pada mulanya memecah rekod British untuk acara 400 meter pada tahun 1985 dengan larian selama 44.82 saat. Rekod ini kemudiannya dipecahkan oleh Roger Black, tetapi Redmond berjaya mendapatkan semula rekod tersebut pada tahun 1987 dengan masa larian 44.50 saat. Rekod tersebut bertahan sehingga tahun 1992.

Sebelum Sukan Olimpik 1992, beliau telah menjalani lapan operasi akibat kecederaan. Walau bagaimanapun, beliau berada dalam keadaan yang baik semasa acara tersebut. Beliau mencatatkan masa terpantas pusingan pertama, dan berjaya ke pusingan suku akhir. Pada pusingan separuh akhir, Redmond bermula dengan baik, tetapi apabila berada kira-kira 250 meter dari garisan penamat, beliau telah mengalami kecederaan hamstring. Beliau terhenti daripada larian, dan kemudiannya jatuh ke tanah dalam kesakitan. Dalam pada masa tersebut pembawa stretcher masuk ke trek larian untuk memberikan bantuan, namun Redmond memutuskan bahawa beliau mahu menamatkan perlumbaan. Beliau mula berjalan dalam keadaan pincang sepanjang trek. Beliau kemudiannya dituruti bapanya, Jim Redmond, yang telah melanggar pegawai keselamatan untuk mendapatkan anaknya. Jim dan Derek menyelesaikan pusingan trek bersama-sama, dengan Derek bersandar pada bahu bapanya untuk sokongan. Setelah mereka melintasi garisan penamat, para penonton sebanyak 65,000 orang telah bangun lalu memberikan Derek tepukan gemuruh. 



Redmond memberitahu bapanya "Saya mesti menamatkan perlumbaan ini." 
Bapanya berkata "Jika kamu mahu menamatkan perlumbaan, kita akan menyelesaikannya bersama-sama."



Perjuangan Redmond dalam acara tersebut kemudiannya menjadi subjek salah satu video 'Celebrating Humanity' Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa. Pada tahun 2008, Redmond telah dipaparkan dalam iklan Visa mempromosikan Sukan Olimpik. Iklan itu memaparkan kecederaan beliau dalam acara tersebut, menyatakan bahawa "walaupun beliau dan bapanya menamatkan larian di tempat terakhir, mereka berjaya juga menyelesaikan larian tersebut".

Dua tahun selepas Sukan Olimpik di Barcelona, ​​beliau telah diberitahu oleh seorang doktor bahawa beliau tidak akan berjalan lagi atau mewakili negara dalam sebarang acara sukan. Walau bagaimanapun, setelah kehilangan olahraga sebagai kerjaya, beliau mula menumpukan perhatian, dengan galakan bapanya, kepada sukan lain yang beliau minati. Selepas ujian di beberapa kelab bola keranjang, beliau memperoleh tempat dalam pasukan kebangsaan bola keranjang Great Britain. Beliau telah menghantar gambar yang ditandatanganinya kepada bekas pasukan pakar bedah beliau yang telah yakin bahawa beliau tidak akan mewakili negara dalam sukan lagi. Selepas bermain bola keranjang profesional, beliau mengalihkan perhatian pula kepada sukan ragbi, iaitu satu lagi sukan kegemarannya dan telah berjaya sampai ke Division 1 dengan niat untuk mewakili Great Britain profesional dalam tiga disiplin sukan yang berbeza. Walau bagaimanapun, selepas selesai ujian pemilihan untuk pasukan England Sevens, beliau telah dinafikan tempat di dalam skuad tersebut.

Redmond kini berkhidmat sebagai Pengarah Pembangunan untuk larian pecut dan larian berhalangan untuk Olahraga UK.  Beliau juga kini adalah seorang penceramah motivasi.

Pada 10 Januari 2012, Jim bapanya telah mengumumkan bahawa dia akan menjadi salah seorang pemegang obor Olimpik di London semasa Sukan Olimpik Musim Panas.

Derek Redmond adalah contoh terbaik semangat manusia yang tidak pernah berputus asa. Tiada doktor atau kecederaan boleh menarik beliau jauh dari cita-cita beliau untuk mewakili negara, sama ada ianya larian trek atau menggelecek bola keranjang. Beliau mengajar bahawa dalam kehidupan yang mana anda mungkin kalah dalam pertarungan, tetapi jika anda terus berusaha anda pasti tidak akan kalah dalam peperangan. 


Sila lihat klip video di bawah untuk melihat semangat Derek Redmond.


0 comments:

Post a Comment